Tuesday, 4 September 2012

Fezrul Khan Bini-Bini Perkasa Galas Tugas Shaheizy Sam

| |


Trend drama bersiri yang diadaptasi daripada filem bukanlah perkara baru. Terbaru Bini-Bini Perkasa adalah drama bersiri 13 episod yang diadaptasi daripada filem Bini-Biniku Gangster terbitan MIG Production Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan di TV3 setiap Isnin pukul 9 malam mulai 3 September ini.

Biasanya para pelakon utama yang sama ditonjolkan dalam sesebuah drama yang diadaptasi itu diambil daripada filem asal karya tersebut. Namun ia berlainan dengan Bini-Bini Perkasa yang sepatutnya menampilkan Shahiezy Sam sebagai pelakon utama watak Hairi tetapi ia digantikan dengan Fezrul Khan.


Jelas pelakon berusia 30 tahun ini, dia menggalas tanggungjawab melakonkan watak itu bagi mengisi kekosongan itu selepas Shahiezy Sam tidak dapat terbabit dalam drama tersebut kerana terikat dengan komitmen lain. Justeru, Fezrul terpaksa memikul peranan itu dan memastikan agar dia tidak disamakan dengan Sam.

“Bini-Bini Perkasa dan Bini-Biniku Gangster tidak 100 peratus sama. Lakonan saya dan Sam berbeza walaupun watak Hairi yang kami lakonkan itu adalah sama. Saya juga telah menonton filem Bini-Biniku Gangster dan sentiasa mahu lari daripada disamakan dengan gaya watak lakonan Sam dalam filem tersebut.


“Saya telah berjumpa dengan Sam sebelum ini tetapi kami tidak bercakap tentang Bini-Bini Perkasa. Kami lebih banyak bercakap tentang perkara lain seperti bisnes dan sebagainya. Kesimpulannya baik Sam atau saya kami tidak kisah kerana lakonan kami berbeza walau drama ini sebuah karya adaptasi,” ujarnya.

Bini Bini Perkasa yang diarahkan oleh Ismail Hashim itu turut membariskan pelakon popular seperti Yana Samsudin yang melakonkan watak Manja, Intan Ladyana (Riana), Fadzil Zahari (Din Unta) dan Nizam Zaidi (Eddie) dalam genre komedi aksi.

3 comments:

Post a Comment

ShareThis